Tuesday, August 7, 2012

Apa Khabar Puasa Kita???

Assalamualaikum...

Ramadhan sudah berlalu hampir separuh. Nampaknya masa berjalan begitu cepat sekali. Semua orang merasakan terlalu pantas masa berjalan, sehingga tidak sedar bahawa puasa sudah hampir separuh Ramadhan. Benarlah ini tanda akhir zaman sebagaimana nabi SAW peringatkan . Sabda Rasulullah SAW
"Tidak berlaku kiamat sehinggalah jarak masa menjadi dekat. Setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu. Seminggu seperti sehari. Sehari seperti sejam. Sejam seperti api yang menyambar bahan bakar”.


Cuba kita bayangkan dulu jika kita berpuasa memang terasa begitu lama. Sekarang sebaliknya. Ini adalah petanda dunia sudah tua, ia akan menemui ajal yakin kiamat.

Beberapa perkara yang boleh kita muhasabah diri kita apabila separuh Ramadhan berlalu. Apakah ada peningkatan amal kita di dalam amalan sunat kita di dalam bulan Ramadhan ini. Jika tidak, cepat-cepat perhebatkan, kerana masih ada peluang. Ramadhan ialah bulan ibadah. Semua amalan digandakan oleh Allah yang maha pemurah kepada kita. Sebagaimana Nabi SAW bersabda “Siapa yang melakukan satu fardhu digandakan sampai tujuh puluh fardu, siapa yang melakukan amalan sunat, maka ia menyamai satu
fardu”.

Solat tarawih jangan diabaikan. Tidak kiralah berapa kita mahu amalkan dari segi bilangan rakaat. Tidak perlu perbesarkan soal bilangan rakaat, kerana ia hanya sunat muakkad. Kesemuanya ada hujah masing-masing.Apa yang penting, biarlah ruh tarawih dihayati oleh kita semua. Tidak ada makna jika buat lapan atau dua puluh, tetapi ruhnya hilang. Biarlah buat dengan tenang dan tertib. Imamnya membaca dengan keadaan tartil dan tenang.

Bagaimana pula dengan al-Quran? Sudah berapa juzuk dihabiskan?. Mesti berazam supaya al-Quran dapat dikhatamkan.Kerana membaca al-Quran adalah ibadah yang terbaik. Sebagaimana nabi SAW bermaksud “Sebaik-baik ibadah ialah membaca al-Quran”

Sesibuk mana sekalipun al-Quran tidak boleh disampingkan. Kita mampu habiskan al-Quran di dalam Ramadhan jika disiplinkan diri. Kebiasaan satu juzuk mempunyai 10 helai. Jika setiap waktu sebelum dan selepas solat sehelai insyaAllah, lima waktu dapat satu juzuk. Ertinya jika sebulan dapat khatam al-Quran.

Alhamdulillah kebanyakan masjid di kendalikan oleh orang yang minat dengan Islam akan mengadakan tazkirah. Ini merupakan langkah yang bijak untuk proses pencerahan ilmu di dalam masyarakat. Kesempatan ini diambil dengan kehadiran mereka yang tidak berapa jinak dengan masjid. Selalunya akan hadir ke masjid untuk menunaikan solat tarawih.  Penuhilah dan renunglah butir-butir mutiara yang dikeluarkan oleh pentazkirah agar ia boleh menghidupkan hati supaya terus bersinar di dalam diri kita.

Ambillah peluang untuk sama-sama bangun dan bermunajat kepada Allah terutama di waktu dini hari (sahur) kerana ia adalah waktu yang mustajab Allah perkenankan permintaan hambanya.Soal moral, dosa, pahala, syurga, neraka bukan perhitungan mereka. Mereka sudah buta hati dan hilang rasioanal. Apabila dunia sudah beraja di hati, maka agama diketepikan di dalam tindakan mereka. Maka Allah lah yang mesti dijadikan tempat pengaduan kita, dan penyerahan yang bulat kepadanya. Tidak ada kuasa yang akan dapat menandingi kuasa Allah. Firaun, Namrud, Haman megah dengan kuasa akhirnya tersungkur dengan kehendak Allah SWT.


Cakap-cakap :jangan lepaskan peluang ini. Perbanyakkan amalan sunat kerana ia menampung kekurangan amalan fardu yang kita lakukan selama ini.

Terima kasih sudi baca !!!

No comments:

Post a Comment