Thursday, September 15, 2011

Elak Jadi Simbahan Asid


Simbahan asid bukan sahaja meragut penampilan tetapi turut meninggalkan trauma sepanjang hayat.Dewasa ini asid sering dijadikan senjata oleh individu untuk memusnahkan kehidupan orang yang dibenci oleh mereka. Keganasan melibatkan asid ini sebenarnya bukan hanya merebak di kalangan warga kita, sebaliknya turut berleluasa di luar negara.

Ði Kemboja, seramai 300 mangsa simbahan asid telah dikesan dan dibantu oleh Program Cambodian Acid Survivors Charity (CASC) sejak penubuhannya pada tahun 2006. Ði bawah program tersebut, mangsa akan diberikan perkhidmatan perubatan percuma, bantuan guaman, kaunseling dan latihan kemahiran.

Manakala Yayasan Mangsa Asid (ASF) yang berpangkalan di London mendapati, 86 kes dengan 111 kecederaan akibat simbahan asid telah berlaku di Bangladesh pada sembilan bulan pertama tahun lalu (2010). Kumpulan hak asasi wanita, Aurat Foundation di Pakistan pula merekodkan 20 kes penyimbahan asid dalam tempoh separuh tahun pertama 2010.

Justeru, keganasan asid tidak lagi boleh dipandang mudah oleh pihak yang terlibat bagi mengelakkan ia menjadi barah dalam masyarakat.

Apa itu asid?
Asid didefinasikan sebagai bahan yang mempunyai nilai pH kurang daripada 7. Asid bersifat menghakis dan boleh merosakkan serta mendatangkan kecederaan pada permukaan yang mengenainya.

Punca-punca keganasan asid 

1 . Dendam

Perasaan dendam, cemburu dan iri hati antara punca yang membuatkan seseorang menyerang individu lain. Kemarahan yang dialami akibat putus cinta atau cinta tiga segi membuatkan individu yang tidak berperi kemanusiaan itu menggunakan asid bagi membalas dendam.

2 . Murah dan Mudah

Harga asid yang murah iaitu kurang dari RM10.00 sebotol membuatkan ia menjadi pilihan ramai individu untuk melampiaskan dendam mereka. Selain harga yang murah, asid dan cuka getah juga mudah diperolehi dan boleh dibeli oleh sesiapa sahaja di kedai-kedai perkakasan.

Kesan Simbahan Asid

Asid menghakis kulit dan mendatangkan kecederaan serius. Kulit yang disembah asid akan kelihatan terbakar. Kebakaran kulit itu dikategorikan sebagai korosif yang menyebabkan kulit melecur, kulit tertinggal dan mematikan tisu. Selain itu, simbahan asid turut meninggalkan parut yang teruk pada bahagia tubuh yang mengenainya.

Parut kronik itu bergantung kepada peratusan kebakaran kulit, iaitu tahap pertama tidak terlalu teruk, peringkat kedua pula merosakkan 30% anggota badan dan peringkat ketiga meliputi kerosakan yang melebihi 30% selain melibatkan bahagian wajah.

Kerosakan kulit di peringkat ketiga akan menyebabkan kulit hancur, kerosakan salur darah, jangkitan kuman dan nyahhidrat. Lebih kronik lagi, simbahan asid ini menyebabkan keadaan luaran dan dalaman tubuh mangsa menjadi rosak sehingga membawa maut.

Cara menangani

Antara cara yang boleh digunakan untuk mengatasi jenayah keganasan asid ini ialah dengan mengawal penjualan asid di pasaran. Pihak berkuasa perlu menetapkan syarat agar asid tidak boleh dijual dan dibeli dengan mudah oleh masyarakat.

Individu perlu sentiasa mengamalkan sikap berwaspada dalam diri agar tidak menjadi mangsa simbahan asid. Peka dengan keadaan persekitaran juga boleh membantu mangsa agar tidak menjadi mangsa simbahan asid.

Selain itu, individu juga perlu mengawal perilaku dan tidak melakukan perkara yang boleh menyinggungkan perasaan orang lain agar diri tidak menjadi mangsa dendam.

Muhasabah diri dan sifat sabar perlu ditanam dalam diri setiap individu. Jangan membuat keputusan terburu-buru dan mengikut kata hati yang sedang marah. Elakkan daripada melakukan sebarang tindakan dalam keadaan marah kerana di saat itu, manusia cenderung untuk melakukan perbuatan yang berbahaya.





 

No comments:

Post a Comment